Sunday, November 22, 2009

Erti Sebuah Rumah Tangga

Saya tertarik dengan dua petikan indah & meninggalkan kesan mendalam di hati. Saya ingin berkongsi petikan ini untuk kita renungkan bersama.. - Nuri Supian Editor untuk Majalah Wanita

Rasulullah S.A.W telah bersabda: Perasaan kasih adalah kecintaan suami kepada isterinya. Perasaan sayang adalah sayangnya suami kepada isterinya meskipun ada keburukan pada dirinya.
(Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas).

Lelaki yang paling baik akhlaknya adalah lelaki yang paling sayang pada isterinya. Sementara wanita yang paling baik ialah wanita yang menyenangkan hati suami apabila suami memandangnya.


Kebenaran petikan ini jelas nyata. Perasaan saling sayang menyayangi & mencintai menjadikan pasangan suami isteri diikat menjadi satu jiwa. Ia penawar yang mengalirkan rasa bahagia sehingga terwujudlah sebagaimana yang diucapkan Rasulullah S.A.W iaitu 'baiti jannati" atau rumahku syurgaku.

Pendapat saya, bukan sahaja suami perlu mempunyai perasaan kasih & mencintai isteri seadanya. Pihak isteri juga harus mempunyai perasaan serupabarulah perkahwinan itu berlangsung dalam suasana harmoni.

Hakikat sesebuah perkahwinan adalah perkongsian dalam melahirkan rasa saling cinta, bekerjasama, bantu membantu & mendidik keturunan. Melalui perkahwinan juga memenuhi ketenteraman jiwa.

Cinta sepatutnya menjadi motivasi yang mendorong suami isteri melakukan kebaikan. Banyak cara motivasi cinta boleh dipraktikkan seperti menghargai pendapat suami atau isteri, sentiasa memberi didikan dan menegur kesilapan secara berhemah.

Persoalannya, sejauh mana suami benar-benar mengasihi & mencintai isteri serta keluarga. Bukankah indah jika suami yang mencintai anak & isteri meletakkan kecintaannya itu kepada Allah S.W.T terlebih dahulu.

Suami melakukan perkerjaan sehariannya kerana Allah & melakukan aktiviti bersama keluarga kerana Allah. Suami harus memandang kebahagiaan yang dikecapi adalah kebahagiaan hasil hubungan dengan Allah S.W.T.

Bagaimana pula seharusnya isteri menunjukkan rasa cintanya terhadap suami? Alangkah indah jika isteri taat & patuh pada perintah suami yang beriman semuanya diletakkan kerana Allah S.W.T.

Saya sangat bersetuju pendapat sesetengah orang yang mengatakan, suasana keluarga selalunya ditentukan oleh pengaruh isteri sekali gus ibu kepada anak-anak. Melayani suami dan anak-anak kerana keimanan terhadap Allah tentulah mendapat keberkatan yang tiada nilainya.

Bukankah indah sebuah keluarga mempunyai seorang isteri, ibu yang bersabar melayan karenah anggota keluarga semuanya kerana syukurnya dia & cintanya dia kerana Allah mengurniakan kepadanya suami & anak sebagai rezeki.

Inilah yang dikatakan hikmah perkahwinan di mana kita diajar menjadikan keluarga & rumah tangga sebagai satu pelabuhan aman & kukuh bagi setiap anggota keluarga.

No comments:

Post a Comment